Jalur Gemilang
Berita :
Mekanisme Jelas Diperlukan Bagi Lindungi Masa Depan Atlet Berprestasi Tinggi
Mekanisme Jelas Diperlukan Bagi Lindungi Masa Depan Atlet Berprestasi Tinggi
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
23 Nov 26
26

KUALA LUMPUR, 27 November- Kerajaan digesa memperkemas mekanisme pembangunan atlet berprestasi tinggi bagi memastikan setiap atlet menerima keputusan, hala tuju dan bentuk sokongan yang jelas dalam tempoh munasabah.

Perkara itu dibangkitkan Dato' Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Parlimen Dungun kepada Menteri Belia dan Sukan semalam, berhubung keperluan mengelakkan kelewatan serta jurang komunikasi antara atlet dengan agensi sukan negara.

Beliau turut mempersoalkan mekanisme yang akan diperkenalkan bagi memastikan atlet tidak berada dalam keadaan tidak menentu berkaitan status penyertaan, perancangan latihan dan pertandingan, selain sokongan yang bakal diterima daripada kerajaan.

Dalam soalan tambahan, Wan Hassan turut memberi perhatian kepada atlet berbakat yang berpotensi tinggi tetapi berisiko tercicir daripada program elit seperti Program Podium, Road to Gold (RTG) dan Fast Track kerana belum memenuhi kriteria pemilihan yang ditetapkan.

Menurut beliau, peningkatan prestasi secara konsisten serta kemampuan atlet bersaing di peringkat antarabangsa wajar menjadi antara faktor yang dipertimbangkan dalam menentukan bentuk sokongan dan laluan pembangunan mereka.

Beliau mahu Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan mekanisme khusus bagi mengenal pasti atlet berpotensi tinggi di luar program elit sedia ada serta menyalurkan sokongan yang bersesuaian supaya peluang mereka untuk berkembang tidak terhalang hanya kerana belum memenuhi kriteria pemilihan.

"Atlet yang sedang meningkat prestasinya perlu diberikan laluan dan sokongan yang bersesuaian agar potensi mereka dapat dikembangkan sehingga mampu bersaing di pentas antarabangsa," katanya.

Pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan sukan negara bukan sahaja memberi tumpuan kepada atlet yang sudah berada di tahap elit, tetapi turut menyediakan laluan pembangunan yang jelas kepada bakat baharu dan atlet yang sedang meningkat naik.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan