DUNGUN, 24 November – Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun melaksanakan Op Khas Motosikal di Jalan Perindustrian Batu 7, Dungun bagi membanteras pelanggaran undang-undang lalu lintas serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendent Nik Ab Halim Nik Mat, berkata operasi berkenaan dilaksanakan susulan kegiatan penunggangan motosikal yang didapati menyalahi peraturan lalu lintas dan kerap berlaku di lokasi tersebut pada setiap hari Selasa.
“Hasil operasi, seramai 81 individu dan 72 buah motosikal telah diperiksa. Sebanyak 137 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala 26 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Nik Ab Halim berkata, pihak polis turut mengesan penglibatan golongan bawah umur dalam aktiviti berkenaan, yang amat membimbangkan kerana boleh mengundang risiko keselamatan kepada penunggang serta pengguna jalan raya yang lain.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan penjaga supaya meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak, khususnya yang menggunakan motosikal, bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain.
“Pihak Polis Daerah Dungun akan terus memperkasakan operasi penguatkuasaan secara konsisten dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya.
Tindakan berterusan ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak polis memastikan aspek keselamatan jalan raya sentiasa diberi keutamaan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat di daerah Dungun.