• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

70 Anggota APM Turun 'Basuh' Kemaman

MARANG, 30 November - Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, seramai 70 anggota agensi berkenaan dikerahkan turun ke daerah Kemaman hari ini untuk membantu mangsa banjir.

"Tujuannya adalah untuk bantuan pembersihan pasca banjir secara spesifik di kawasan Air Putih, Teladas dan Tebak kerana semalam kita dapat makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), bahawa rumah yang terjejas banjir di sana lebih kurang 175 buah.

"Sebahagiannya sudah dicuci dengan bantuan Jabatan Amal Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan berkaitan, namun masih ada lagi yang belum selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui sewaktu melakukan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir yang masih di buka di Terengganu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, hari ini.

Tambahnya, beliau turut dimaklumkan Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) bahawa sukarelawan T-VOLT juga akan digerakkan bagi membantu mangsa pasca banjir jika diperlukan.

"Setakat ini, bagi pembersihan semalam kita mengutamakan tempat-tempat tumpuan awam seperti masjid, balai raya, tadika dan sebagainya dalam proses pembersihan.

"Hari ini, bantuan ke rumah penduduk pula bersama logistik sekali seperti water jet dan sebagainya," katanya.

Foto: APM Terengganu.

 


Tag: