• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

7,000 Kilogram Ikan Tongkol, Selayang Untuk Lauk Berbuka

Ikan untuk diagihkan kepada masyarakat.

Oleh : Mohd Zukifli Mat

 
KUALA NERUS, 28 April - Menyedari kesusahan rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengagihkan 7,000 kilogram ikan tongkol dan selayang halus sebagai lauk berbuka puasa untuk penduduk di kawasan berkenaan semalam.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerjasama daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Tepoh Care itu memberi keutamaan kepada keluarga yang terjejas pendapatan.
 
"Sebanyak 5,000 kilogram ikan tongkol dan 2,000 kilogram ikan selayang halus telah diagihkan pada hari ini.
 
"Sebagaimana yang diketahui, kita semua masih dalam lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini menyukarkan penduduk mencari rezeki," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Serbaguna di sini semalam.
 
Hishammuddin meninjau persiapan agihan yang dilakukan.
 
Katanya, urusan untuk agihan kepada penduduk mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Tepoh.
 
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat khususnya yang beragama islam untuk sama-sama merebut ganjaran di bulan Ramadan dengan membaca al-Quran.
 
"Elakkan berbuat perkara yang sia-sia dan usah kurangi pahala puasa dengan bicara yang tidak disukai Allah SWT.
 
"Keistimewaan Ramadan seperti ganjaran pahala berlipat kali ganda dan keampunan Allah SWT yang terbuka luas, jadi rebutlah peluang sebaiknya," tambah beliau.