• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 25 Januari – 72 program diatur sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 bagi merancakkan lagi sektor pertanian sekali gus membela ekonomi rakyat dalam negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut melibatkan kerjasama dengan pelbagai jabatan dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

“Antaranya 18 program melibatkan Jabatan Pertanian, 15 program tersebut melibatkan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dan 9 program melibatkan penternakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

“Tambah lagi 10 program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) serta Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN).

“IADA Ketara dan Lembaga Pertubuhan Peladang masing-masing akan menganjurkan dua program manakala empat lagi program akan diusahakan agensi-agensi lain,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 secara atas talian di Wisma Darul Iman, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tambah Dr Azman, bagi memastikan program tersebut berjalan lancar, kerajaan negeri mengambil langkah sistematik dengan mewujudkan Sekretariat Khas Tahun Pertanian Terengganu.

“Peranan pasukan khas ini sebagai urusetia kepada program dan projek yang dijalankan dan memantau serta menilai keberkesanan 72 program dan 13 projek yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Mereka juga bertanggungjawab dalam mengemukakan laporan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri,” katanya lagi.