• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

750 Anggota APM Terengganu Sedia Hadapi Monsun Timur Laut

HULU TERENGGANU, 16 November - Seramai 750 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula dari November ini hingga awal Mac 2023.

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, aset darat dan air membabitkan lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulan serta bot kini bersedia digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir.

Pada MTL kali ini, kita menyediakan pelbagai aset termasuk kekuatan logistik membabitkan 15 buah ambulans, 63 buah bot pelbagai saiz dan lapan buah lori serta aset yang lain.

"Selain itu, kita telah mengenal pasti antara 42 hingga 44 buah kampung yang berada di kawasan pantai di seluruh Terengganu dan mungkin terjejas sekiranya berlakunya air pasang besar dan hujan lebat.

"Pihaknya juga akan menjalankan rondaan dan pemantauan selepas METMalaysia mengeluarkan amaran berlakunya hujan lebat akan melanda di negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Latih Amal (Tabletop) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir di Residensi TNB di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan seluruh masyarakat di Terengganu sentiasa peka dengan amaran cuaca dari semasa ke semasa dan apabila menerima amaran segera berpindah untuk mengelak sebarang risiko yang tidak diingini berlaku.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan dilaporkan, berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Barat Sarawak.