• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

76 Pelajar Terima Hadiah Kecemerlangan

DUNGUN, 12 Julai - Seramai 76 pelajar menerima hadiah kecemerlangan dalam bentuk imbuhan wang sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha bagi menggapai kejayaan di masa hadapan.

Mereka merupakan pelajar-pelajar Sijil Pelajar Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun mengingatkan  pelajar-pelajar berkenaan agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran agar kejayaan dapat diteruskan. 

"Apa saja yang kita buat perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh, cuba buat yang terbaik, tambah lagi dalam suasana kena belajar secara 'online', jangan buat lebih kurang, jangan tinggal solat, cuba solat awal waktu, insya-Allah kita berjaya dunia akhirat," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah tersebut di pejabatnya, baru-baru ini.

Sementara itu, Siti Nur Zulaiqa Fatihah Ahmad, 18 bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang berjaya memperolehi 10A di dalam peperiksaan SPM 2020 menganggap ianya sebagai penghargaan daripada seorang pemimpin masyarakat untuk rakyatnya. 

"Ianya juga menjadi penguat semangat untuk sentiasa berusaha mendapat kejayaan kerana kejayaan tidak datang bergolek, setiap orang perlu kuat untuk berjaya," ujarnya yang berhasrat menyambung pengajiannya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Syariah Islam.

Alias sedang berkata sesuatu kepada Ruzaini sambil diperhati Adlina(tengah) 

Ruzaini Harun, 49, pula berkata, sebagai ibu beliau menganggap hadiah tersebut sebagai dorongan kepada penerima-penerima termasuk anaknya Nurul Adlina Roslan,18, tambahan lagi terpaksa menyambung pengajian secara atas talian.

"Alhamdulillah saya bersyukur Adlina berjaya dalam SPMnya dalam keadaan berhadapan dengan banyak cabaran budaya norma baharu ," katanya.


Tag: