• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

86 Anak Jabi Bakal Lanjut Pelajaran Dirai



Seramai 86 bakal siswa dan siswi dari DUN Jabi yang akan mendaftar di Institut Pengajian Tinggi  (IPT) awam dan swasta diraikan dalam Majlis Lambaian Menara Gading bertempat di Pusat Khidmat Adun Jabi, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka bakal mengikuti pengajian dalam pelbagai jurusan di IPT seluruh negara.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang berjaya. Dunia universiti bukanlah tempat untuk kita berehat dan ambil sambil lewa. Belajarlah dengan sehabis 'smart' dan bersungguh.

“Jangan bazirkan masa dengan tabiat yang merugikan diri. Ingat harapan ibu bapa di kampung yang menghantar kita pergi dengan penuh harapan. Kita mahu anak Jabi semua cemerlang dan jadi yang terbaik. Akhirnya nanti balik untuk menyumbang kepada tanah tumpah darah kita di Jabi,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut seperti yang dipetik dalam laman Facebook beliau.

Pada majlis itu, Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi turut menyampaikan sumbangan wang saku kepada semua bakal graduan.

Beliau turut berpesan kepada para pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke menara gading agar sentiasa menjaga diri dan nama baik keluarga.

“Di mana pun kita berada, jagalah nama baik keluarga dan Jabi kita. Solat jangan dilupa dan berdoalah setelah kita berusaha,” katanya.


Tag: