• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Abdul Hadi Akan Bantu Kempen Di PRK Cameron Highland

Dato' Seri Abdul Hadi menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada petugas DITC di Majlis Perasmian Dewan Dato' Seri Tuan Guru DITC di Teluk Kalong, Kemaman.
KEMAMAN, 15 Januari - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang akan memberi kerjasama untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland pada 26 Januari ini bagi membantu calon Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi berkata, beliau juga tidak mahu meletakkan undi PAS sebagai penentu kemenangan calon BN kerana ia hanya akan diketahui selepas PRK nanti melalui 'post mortem'.

"Namun begitu, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum yang lepas, jumlah pengundi PAS perlu diambil kira dalam kemenangan calon.

"Insya-Allah kita akan memberi kerjasama kepada calon parti pembangkang , beliau tidak mewakili UMNO, PAS atau mana-mana parti, hanya menggunakan lambang parti BN.

"Saya akan turun sendiri berkempen pada hari Ahad ini bagi memastikan penyokong-penyokong PAS keluar pada hari mengundi sebagai tanda sokongan dan kerjasama," katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Dewan Dato' Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC),Teluk Kalong, Kemaman, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DITC, Shuhaimi Embong.

Hadir sama, Mursyidul Am PAS, Dato' Haji Hashim Jasin.

Sebelum ini, PAS bersetuju dengan calon yang dikemukakan BN dalam PRK Cameron Highland kerana bertepatan dengan suasana semasa dan geopolitik di kawasan berkenaan.

Tag: