• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Abdul Hadi Menang Petisyen Marang, Tiada Unsur Rasuah

KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerusi Ahli Parlimen Marang kekal menjadi milik Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sekali gus menafikan dakwaan BN yang membawa naratif wujudnya unsur sogokan untuk mempengaruhi undi.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mahkamah Rayuan petang ini secara sebulat suara menolak rayuan UMNO/BN tanpa perintah kos.

Keputusan itu dicapai selepas Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan pihak-pihak selama lebih 3 jam awal hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian secara sebulat suara.

Serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menolak petisyen pilihan raya bekas calon BN, Jasmira Othman.

Pada prosiding itu, Jasmira diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Yusfarizal Yussoff berhujah bagi pihak Ahli Parlimen Marang itu.

Calon BN itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menolak petisyennya untuk membatalkan kemenangan Abdul Hadi bagi kawasan itu.

Pada 27 Jun lalu, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai hakim pilihan raya memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Untuk rekod Abdul Hadi menang kerusi Parlimen Marang dengan majoriti lebih 41,000.


Tag: