• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Adi Food Sasar Luas Pasaran Seluruh Malaysia


Adi Food Product Sdn. Bhd. (Adi Food), satu-satunya syarikat pengeluar kacang di Terengganu berhasrat meluaskan pasaran produknya di seluruh negeri.

Pengurusnya, Hadi Che Abdullah berkata, dengan menggunakan jenama ‘Kruncher’ pasaran kacang syarikatnya sehingga kini telah berjaya menembusi pasaran Kuala Lumpur.

Kilang kacang Adi Food yang beroperasi sejak lima tahun lalu telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sekali gus membuka peluang kepada syarikat ini untuk  pergi lebih jauh ke pasaran luar negeri.

Menurut Hadi, ketika ini syarikatnya mengeluarkan tujuh jenis produk kacang iaitu kacang peas, kacang sepat kari, kacang Shandong, kacang campur, kacang botak, kacang kari dan kacang sira yang melambangkan identiti negeri Terengganu.

Hadi berkata, bahan mentah untuk menghasilkan kacang-kacang berkenaan di import dari Penang sebelum diproses di kilang miliknya yang terletak di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Katanya, sebagai sebuah syarikat keluarga yang menjalankan perniagaan memproses kacang, Adi Food banyak mendapat bimbingan dan latihan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) khususnya dari aspek untuk meluaskan jaringan pasaran produk yang dikeluarkan.

Katanya, pasaran kacang keluaran syarikatnya kini juga semakin meningkat, walaupun sebelum ini rata-rata pelanggan lebih gemarkan pembungkusan lama.

“Dengan pembungkusan yang lebih menarik, orang ramai kini boleh mendapatkan produk kacang keluaran Adi Food di kedai runcit seluruh daerah termasuk sebuah pasaraya popular negeri ini selain boleh didapati secara terus dari kilang,” ujarnya.

Tag: