Jalur Gemilang
Berita :
ADUN Batu Rakit Cadang Tambah Lapan Struktur Pemecah Ombak Tangani Hakisan Pantai
ADUN Batu Rakit Cadang Tambah Lapan Struktur Pemecah Ombak Tangani Hakisan Pantai
Al-Qushairi
1 hari yang lepas
209


 SETIU, 18 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mencadangkan supaya lapan lagi struktur pemecah ombak (breakwater) dibina bagi memperkukuh perlindungan pantai di kawasan Batu Rakit.

Beliau berkata, walaupun menghargai pelaksanaan projek pembinaan struktur pemecah ombak yang sedang dilaksanakan, penilaian teknikal semula perlu dibuat terhadap jarak dan susun atur struktur berkenaan bagi memastikan keberkesanannya.

Menurutnya, isu tersebut perlu dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan kajian teknikal serta peruntukan tambahan.

Dalam perbahasan Belanjawan Terengganu 2027 itu, beliau turut meminta kerajaan mengenal pasti rumah penduduk yang berada dalam zon berisiko tinggi akibat hakisan pantai.

Katanya, penilaian keselamatan kediaman perlu dilaksanakan segera bagi menentukan rumah yang masih selamat diduduki serta kediaman yang perlu dikosongkan atau dipindahkan.

“Bagi penduduk yang terpaksa berpindah, kerajaan perlu menyediakan pelan penempatan semula yang teratur, termasuk tempat tinggal sementara dan penyelesaian penempatan kekal di kawasan lebih selamat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hakisan pantai bukan sekadar isu kehilangan tanah atau kerosakan harta benda, sebaliknya melibatkan keselamatan nyawa, masa depan keluarga dan kelangsungan kehidupan masyarakat pesisir pantai.

Sehubungan itu, beliau berharap suara penduduk Batu Rakit mendapat perhatian serius kerajaan negeri agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Mohd Shafizi menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan Terengganu 2027 yang bertemakan 'Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera'



Tag :

Semasa
Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan