ADUN Bukit Besi Taja SSPN-i Buat Pelajar Cemerlang SPM
DUNGUN, 1 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyediakan inisiatif istimewa berupa pembukaan akaun SSPN-i (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebanyak RM200, buat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di DUN berkenaan baru-baru ini.
Dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apreasiasi SPM 2024 bagi DUN Bukit Besi yang berlangsung pada Rabu, seramai 20 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas menerima tajaan tersebut.
Selain tajaan itu, sumbangan wang tunai serta cenderahati turut disampaikan kepada setiap pelajar yang hadir.
"Sumbangan ini merupakan salah satu usaha meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa dalam persediaan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berpendapat bahawa seharusnya diwujudkan satu tabung pendidikan yang dimulakan sejak usia kecil lagi.
Ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dan keluarga mereka dalam perancangan pendidikan jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa majlis berlangsung.
Beliau turut menyatakan harapan besar agar para pelajar terus berusaha mencapai kejayaan ke menara gading dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan DUN Bukit Besi khususnya, yang terletak di kawasan pedalaman Hulu Dungun sebuah lokasi yang dikenali dengan potensi pelancongan dan sumber mineralnya.
Tambahnya, pihaknya akan cuba untuk terus mengadakan program penghargaan kepada pelajar apabila mereka menamatkan pengajian di universiti kelak.
Majlis juga berkesempatan memberikan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang menjadi tonggak kejayaan pelajar-pelajar berkenaan melalui sokongan dan dorongan berterusan.