• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK

SETIU, 22 September – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengagihkan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada 37 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan 22 masjid di seluruh DUN terbabit. 

ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM2,000 turut diberikan bagi merancakkan lagi perjalanan entiti itu.

Katanya, walaupun tiada peruntukan khusus untuk institusi-institusi tersebut, pihaknya tetap mengusahakan beberapa langkah supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak.

"Kesemua 37 MPKK dalam DUN Jabi menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM3,000 dari Pejabat ADUN Jabi. Sebelum ini pun macam-macam peruntukan kita dah bagi berdasarkan keperluan. 

"Kita tak ada suatu peruntukan khusus untuk masjid, PIBG atau MPKK. Dengan apa yang ada, kita atur dan agihkan sebaik mungkin agar sama dapat merasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, pihaknya merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memberi kemudahan kepada semua.

"Tahun ini tak ada mesyuarat agong PIBG. Untuk kesemua PIBG bagi 14 buah sekolah dalam DUN Jabi, kita salurkan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM2,000 di samping sumbangan berkala lain sebelum ini. Tak banyak tapi sama merasa," tambah beliau.