• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

ADUN, JPKK Gotong-royong Bersih Rumah Mangsa Ribut

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Susulan hujan ribut yang merosakan ratusan buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN terbabit turun padang bagi memastikan aktiviti gotong-royong membersihkan rumah mangsa dapat dilakukan segera hari ini.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu, tragedi petang semalam mengakibatkan 288 buah rumah terjejas.

"Untuk membaik pulih atap atau rumah yang terjejas itu tidak sempat dilakukan sekali gus hari ini, saya ambil langkah turun dahulu ke lapangan bagi memastikan kerja-kerja gotong royong membersihkan kesan ribut di rumah penduduk.

"Juga bagi memastikan rakyat berada di dalam keadaan selamat, Alhamdulillah tiada kehilangan nyawa yang dilaporkan berlaku," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media selepas melakukan tinjauan ke rumah-rumah penduduk sekitar yang terkesan akibat kejadian tersebut, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD), Mohd Soud Said @ Ali dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengulas mengenai bantuan kewangan, beliau berkata pihaknya sedang meneliti peruntukan yang akan disampaikan berdasarkan kerosakan yang dialami.

"Peringkat permulaan ini kita akan kenal pasti dahulu melalui JPKK jumlah rumah yang mengalami kerosakan sama ada skala kecil atau besar, kemudian akan diambil langkah seterusnya daripada laporan yang diterima. 

"Untuk masa ini kita sampaikan dahulu bantuan segera berupa wang tunai," jelasnya.

Hasil tinjauan, Muhammad Khalil memaklumkan antara rumah penduduk yang terkesan teruk ialah sebuah rumah yang didiami oleh ibu tunggal, Azizah Muhammad, 36.

Ini kerana ketika ribut berlaku, kediamannya dihempap pokok besar yang telah meranapkan bahagian bumbung rumah.

 Azizah berkata ketika kejadian berkenaan dia tiada di rumah kerana sedang menghantar makanan atas tugasan sebagai penghantar makanan 'Food Panda'.

"Dalam keadaan ribut kencang berkenaan, saya meneruskan tugas saya, jika tidak dapat selesaikannya saya risau memberi kesan kepada pekerjaan saya ini.

"Kemudian baru dimaklumkan bahawa rumah turut terjejas dalam kejadian ribut semalam, Syukur sangat apabila mendapat kecaknaan segara daripada wakil rakyat di sini," ujarnya yang memiliki empat orang anak berusia dalam lingkungan usia lima hingga 13 tahun. 

 

Manakala seorang lagi mangsa, Nizam Shari, 42, berkata kejadian tersebut telah menyebabkan anaknya yang sedang bermain di hadapan rumah cedera di bahagian kepala. 

"Namun begitu hanya kecederaan ringan yang dialami, terima kasih diatas keprihatinan ADUN dan JPKK setempat kerana telah bertindak cepat dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.


Tag: