KUALA TERENGGANU, 21 April - Terengganu perlu segera memperkukuh pembangunan berdaya tahan dengan memberi fokus kepada tenaga boleh baharu, rantaian bekalan halal dan pemerkasaan ekonomi komuniti bagi berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, berkata perubahan landskap ekonomi dunia menuntut kerajaan negeri bertindak lebih terancang dan berani supaya negeri ini tidak terus terdedah kepada risiko luar.
Ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, beliau menegaskan bahawa kebergantungan kepada sumber tenaga dari zon konflik kini menjadi ancaman kepada keselamatan ekonomi negara.
“Krisis ini membuktikan bahawa pergantungan kepada sumber tenaga dari zon konflik adalah satu risiko keselamatan negara. Terengganu mempunyai potensi besar dalam tenaga solar dan hidro.
“Kerajaan negeri perlu melancarkan inisiatif Terengganu Energy Independence Roadmap bagi menggalakkan pemasangan panel solar di setiap rumah, masjid, rumah ibadat, sekolah dan bangunan kerajaan, di samping meneroka potensi hidro di kawasan pedalaman.
“Maka, kita tidak boleh hanya berdiam diri. Kita mesti mengubah pendekatan kita ke arah tenaga hijau dan ekonomi kendiri,” katanya.
Selain tenaga, Sulaiman turut mencadangkan penubuhan Hab Bekalan Halal Terengganu sebagai antara strategi utama untuk memperkukuh ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan industri kecil sederhana (IKS).
Menurutnya, negeri itu tidak seharusnya terus bergantung kepada pengeksportan bahan mentah semata-mata, sebaliknya perlu bergerak ke arah penghasilan produk halal bernilai tambah dan bertaraf eksport.
“Daripada hanya mengeksport produk mentah, kerajaan negeri harus menyediakan geran padanan dan zon khas untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memproses makanan sejuk beku, keropok lekor, dan hasil perikanan yang berstatus Halal antarabangsa.
“Ini bukan sahaja menjamin keselamatan makanan negeri, malah membuka pasaran eksport ke pelbagai negara seperti China, Timur Tengah dan ASEAN selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan industri halal seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menekankan kepentingan memperkukuh ekonomi komuniti berasaskan nilai Islam melalui konsep ekonomi barakah, termasuk memperluaskan geran mikro kepada koperasi kampung serta menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti ekonomi setempat.
“Kerajaan negeri perlu mengukuhkan program pembangunan insan yang menggabungkan keusahawanan dengan nilai agama. Jangan biarkan ‘kemajuan’ mengikis ketenangan yang ada pada masyarakat kita yang hidup di antara masjid, sungai dan laut.
“Memperkasakan ekonomi kampung dengan menggiatkan geran mikro kepada koperasi masjid dan surau untuk menjalankan aktiviti pertanian komersial dan ternakan. Ini akan menjadikan masjid sebagai nadi ekonomi setempat, bukan sahaja ibadah,” katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri menyediakan bajet yang signifikan bagi membantu rakyat serta merancakkan ekonomi, terutama dalam sektor keusahawanan, pertanian dan pelancongan.
Katanya, apabila sektor-sektor utama itu digerakkan secara menyeluruh, kitaran ekonomi negeri akan menjadi lebih rancak, sekali gus memperkukuh kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
“Apabila sektor utama ekonomi digerakkan maka kitaran ekonomi akan menjadi lebih rancak dan berdaya maju. Ini akan menjadikan negeri lebih makmur dan kesejahteraan akan kekal terpelihara.
“Kita perlu menterjemahkan skor kebahagiaan menjadi program konkrit, seperti ‘Komuniti Maju Berkat Sejahtera’ yang menilai kesejahteraan bukan dari KDNK tetapi dari kebersihan, kadar jenayah, penyertaan solat berjemaah dan pendapatan isi rumah,” tambah beliau.
Tag :