KUALA TERENGGANU, 18 Novemver - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin memohon kerajaan negeri memberi keutamaan kepada kerja membaik pulih dan menaik taraf padang bola sepak Arena Merdeka Dungun yang kini berada dalam keadaan mendukacitakan.
Beliau berkata, keadaan padang berkenaan tidak lagi mencerminkan fungsinya sebagai antara kemudahan bola sepak utama di daerah Dungun sekali gus memerlukan perhatian sewajarnya.
"Saya memohon agar kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada kerja membaik pulih dan menaik taraf padang bola sepak Arena Merdeka Dungun.
"Keadaan padang pada masa ini amat mendukacitakan dan tidak lagi mencerminkan fungsi yang sepatutnya sebagai antara kemudahan bola sepak utama di daerah Dungun," katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Terengganu 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha menaik taraf kemudahan sukan perlu bergerak seiring dengan potensi besar Dungun dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Katanya, daerah itu telah melahirkan pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid yang membuktikan kemampuan anak tempatan bersaing pada peringkat tertinggi.
"Tetapi persoalannya, adakah keadaan infrastruktur sukan kita hari ini benar-benar sepadan dengan potensi bakat yang ada di Dungun?
"Saya tidak mahu kita berbangga dengan kejayaan atlet apabila mereka sudah berada di pentas antarabangsa, sedangkan kemudahan asas untuk melahirkan generasi seterusnya tidak diberikan perhatian sewajarnya," tegasnya.
Sehubungan itu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berharap Arena Merdeka Dungun dapat disenaraikan sebagai antara lokasi keutamaan dalam pelaksanaan program menaik taraf padang bola sepak daerah secara berfasa.
Jelasnya, kerja penambahbaikan itu perlu merangkumi permukaan padang, sistem saliran serta kemudahan sokongan berkaitan bagi memastikan arena berkenaan dapat dimanfaatkan secara optimum.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas komitmen kerajaan negeri terhadap usaha membaik pulih padang bola sepak daerah secara berperingkat.
Beliau menegaskan, kemudahan sukan bukan sekadar tempat menjalankan aktiviti riadah, sebaliknya memainkan peranan penting dalam pembangunan belia, kesihatan masyarakat dan pembentukan bakat sukan masa depan.