• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Agamawan Sokong Terengganu Halang Wanita Muslim Sertai Gimnastik

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) menyokong penuh tindakan kerajaan Terengganu tidak membenarkan atlet wanita Islam di negeri ini daripada menyertai sukan gimnastik dalam sebarang kejohanan.

Pengerusinya, Abu Usamah Mohd Hanapiah Hussin berkata, pendirian tegas itu adalah selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Katanya, tindakan segelintir pihak yang mengkritik keputusan yang dtelah dibuat itu perlu mengambil kira pandangan para mufti dan ulama mengenai etika berpakaian seseorang wanita Islam dalam sukan terbabit sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan menyerang secara melulu.

"PAKAT berpandangan langkah ini bukanlah ke belakang untuk kemajuan sukan di negeri kita, bahkan ia akan lebih memartabatkan atlet wanita negeri Terengganu, tanpa perlu merasa bimbang terpaksa mengenepikan seketika  prinsip agama dan etika budaya demi untuk memajukan diri dalam bidang sukan.

"Langkah ini dapat melahirkan lebih ramai atlet wanita Terengganu yang cemerlang dalam acara sukan lain yang nanti akan lebih diberikan tumpuan dan fokus untuk mendapatkan pingat oleh kontinjen Negeri Terengganu dalam sebarang pertandingan sukan akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian, melaluii suatu kenyataan rasmi di facebook rasmi PAKAT, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut katanya, pihaknya juga turut memberikan sokongan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dalam mengendalikan isu pematuhan syariah pemakaian atlet Terengganu.

"Dengan mengutamakan pendidikan dalam usaha menerapkan garis panduan serta mengelakkan atlet Terengganu daripada terlibat dalam bidang sukan yang terlalu menjolok mata kepada bidang sukan yang lebih 'mesra syariah'.

Dalam pada itu katanya, rakyat negeri ini perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan usaha 'serangan pemikiran' oleh pelbagai pihak bagi menjauhkan wanita Islam daripada beramal dengan syariat Islam dalam pelbagai bidang termasuk hiburan, fesyen dan sukan bagi melemahkan kekuatan umat Islam.

"PAKAT juga berharap pihak kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak prasarana sukan yang lebih mesra syariah untuk wanita Terengganu yang tidak menyertai acara sukan berbentuk pertandingan sebagai galakan untuk merancakkan amalan hidup sihat di kalangan wanita negeri ini.

"Akhir sekali, PAKAT berpandangan kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak menghalang atlet wanita bukan Islam untuk terlibat dalam sukan gimnastik adalah suatu kompromi yang adil dan bijaksana.

"Semoga bumi Terengganu lebih sentiasa diberkati oleh Allah SWT jua. 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'," ujarnya.