Agensi Kerajaan Bukan Alat Politik - Dr Sam

KUALA TERENGGANU, 17 April – Menteri Besar Terengganu memberikan amaran agar tiada mana-mana pihak memperalatkan agensi kerajaan demi kepentingan politik sempit, sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah rasa tergugat dengan kehadiran agensi penguat kuasa dalam pentadbiran negeri.

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, budaya menggunakan agensi untuk menyerang lawan politik adalah langkah berbahaya yang menjejaskan maruah sistem pentadbiran negara.

"Budaya yang kita tegur ialah penggunaan agensi ini sebagai alatan untuk mendapat maklumat dalaman politik, tanpa ada check and balance," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau mengingatkan, tindakan itu bukan sahaja merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem, bahkan boleh mencetuskan ketidakharmonian sosial dan ketidakstabilan dasar negara.

"Inilah antara punca ketidakselesaan penjawat awam dan terhakisnya keyakinan pelabur terhadap kita,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana agensi, termasuklah cawangan khas yang hadir dalam setiap sidang DUN.

"Saya tidak pernah rasa tidak selesa walaupun mereka hadir setiap kali sidang DUN dan sidang media," katanya.

Malah beliau mengakui keberadaan mereka adalah normal dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dalam tugasnya sebagai ketua kerajaan negeri.

"Mereka kadang kala berada di bilik khusus di atas Dewan ini. 

"Kita tidak pernah anggap kehadiran mereka sebagai satu gangguan," ujarnya.