• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat

KUALA TERENGGANU, 21 Jun – 2,000 pek bantuan makanan asas bagi fasa keempat Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah mula diagihkan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui kesemua 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak beberapa hari lepas.

“700 pek daripada jumlah bantuan tersebut telah diagihkan lebih awal kepada kawasan di Mukim Bukit Besar yang termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 12 buah JPKK.

“Manakala selebihnya diagihkan pada pada hari-hari seterusnya,” katanya ketika ditemubual oleh pemberita baru-baru ini.

ADUN Batu Buruk turut sama membantu dalam proses agihan

Menurutnya lagi, sejurus Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah menyusun bantuan untuk disalurkan secara berperingkat.

“Pada fasa pertama, kita telah agihkan sebanyak 2,000 kilogram ikan kepada masyarakat yang terjejas.

“Manakala fasa kedua sebanyak 900 pek bantuan makanan asas telah diagihkan.

“Fasa ketiga pula, kita telah agihkan sebanyak 1,100 ekor ayam kepada mereka yang terjejas pendapatan,” tambahnya lagi.

Beliau juga berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP ini.

“Bantuan ini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.

Selain itu, beliau menasihatkan agar masyarakat kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga keselamatan dengan mengikut arahan yang ditetapkan sekiranya berada di luar rumah.

Proses agihan makanan asas dijalankan