• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Agihan Pendapatan ASDI Meningkat 10 Peratus

KUALA TERENGGANU, 2 November - Tabung Amanah Saham Darul Iman (ASDI) membuat agihan pendapatan dalam bentuk tunai sebanyak 1.10 sen seunit kepada 20,304 pelabur bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt 2022.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, agihan berkenaan menunjukkan peningkatan pengagihan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas iaitu pengagihan tunai pada kadar 1.0 sen seunit.

Ujar kenyataan itu, pengagihan tersebut adalah berdasarkan jumlah pendapatan yang direalisasikan (sehingga 30 Okt 2022) sebanyak RM5.427 berbanding RM4.92 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Komitmen ASDI meneruskan pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan ini adalah selari dengan objektif pelaburan tabung iaitu untuk memberikan pulangan yang munasabah dan berterusan kepada pemegang-pemegang unit.

"Agihan pendapatan dalam bentuk tunai ini akan dibuat berdasarkan pemegang-pemegang unit yang berdaftar pada 31 Okt 2022 dan akan dilaksanakan pada bulan Dis 2022," jelas kenyataan itu.

Serdasarkan rekod, sepanjang tempoh penubuhannya sejak 1994, ASDI telah membuat agihan pendapatan berjumlah 87.10 sen (75.50 sen agihan tunai dan 11.60 sen agihan unit) kepada semua pemegang unit. Ini menjadikan purata agihan pendapatan setahun ialah 3.23 sen seunit.

Sebagai sebuah tabung unit amanah yang berteraskan syariah, ASDI memiliki 500 juta unit. Sehingga Okt 2022, kedudukan jumlah langganan unit ialah 487.546 juta unit dengan jumlah pelabur seramai 20,304 pelabur. Jumlah baki unit yang masih boleh dilanggan adalah sebanyak 12.45 juta unit.

 


Tag: