• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Ahli Parlimen Dungun Masih Tersenyum Walau Ditimpa Musibah


Wan Hassan tetap menjalankan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa.
Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 31 Julai - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli masih mampu tersenyum dan meneruskan tanggungjawabnya walaupun ditimpa musibah apabila disamun dan kerugian RM26,000 pada 25 Julai lalu.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun berkata, setiap peristiwa yang berlaku adalah dengan izin Allah dan ia juga sebagai peringatan buat hamba-Nya.

“Kalau saya menangis pun duit itu tidak akan kembali kepada saya,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A kepada peserta-peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian di Balai Raya Kampung Dendang, di sini kelmarin.

Khamis lalu, Wan Hassan disamun dua lelaki bermotosikal dalam kejadian berhampiran sebuah bank di Jalan Baru Pak Sabah.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, beliau yang cedera di kaki dan tangan kanan turut mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, Wan Hassan dikatakan pergi ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membayar tempahan lembu untuk Aidiladha.

Katanya, sebaik selesai mengeluarkan wang di bank berkenaan, Wan Hasan masuk ke dalam keretanya untuk pulang ke pejabat.

“Bagaimanapun, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an tiba-tiba masuk di bahagian tempat penumpang hadapan sebelum mengambil beg mengandungi wang berkenaan.

“Mangsa cuba menyelamatkan beg itu daripada dilarikan suspek sehingga berlaku pergelutan antara mereka, namun suspek berjaya melarikan diri dengan motosikal yang ditunggang rakan sejenayahnya,” katanya.



Tag: