• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ahmad Maslan Beri Bayangan GST Akan Kembali

KUALA NERUS, 2 Mac - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memberikan bayangan bahawa Kerajaan Persekutuan akan kembali melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, walaupun pada pembentangan Bajet 2023 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiada pelaksanaan GST pada tahun ini, ia tidak bermakna kerajaan tidak akan menguatkuasakan semula cukai itu pada tahun-tahun akan datang..

Ini kerana katanya,  negara perlu mendapatkan hasil yang banyak dan GST adalah baik untuk rakyat.

"Kita tahu bahawa GST ini memberikan (hasil) RM44 billion kepada kerajaan berbanding Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) serta boleh mengurangkan 'the black economy' 'the underground economy' (dan) 'the shadow economy' (yang semuanya) membawa maksud yang sama iaitu penipuan cukai.

"Orang tak bayar cukai akibat daripadanya, kerajaan akan dapat hasil yang kurang daripada sepatutnya dan ia dilaksanakan di 174 negara daripada 194 negara, 20 negara sahaja yang tidak laksana diantaranya Malaysia, adakah 174 negara itu Salah? pasti ia tidak Salah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan 'Academic Sharing Session', di Majlis Makan Malam Sempena The 3rd International Centre & Communication (ICMC) di Raia Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Maslan berpendirian, jika GST  kembali semula dilaksanakan masyarakat yang merupakan golongan sasaran perlu diberi pendidikan yang berterusan mengenai dasar dan polisi yang pernah dilakukan pada April 2015.

"Masalah kita tidak ada seorang pun suka bayar cukai, jadi bagaimana elok pun kita menyampaikanya orang (tetap tidak akan suka). Jadi ini satu cabaran yang perlu diatasi, kita perlu menggunakan teknologi media terutama media sosial untuk disampaikan kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu katanya, melalui Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia 499 syarikat menyatakan sokongan padu agar GST dikembalikan semula.

"Kerana GST ini mempunyai satu sistem yang dipanggil 'tax refund' mereka boleh dapat balik sejumlah tertentu. Sebenarnya pendapatan yang diperolehi daripada GST bukan RM44 billion itu hasil bersih, sebenarnya yang diperolehi adalah 62 billion pada tahun kemuncaknya 2017 dan baki itu dipulangkan semula kepada mereka yang bayar," ujarnya.

Justeru katanya, pendidikan mengenai cukai perlu teruskan dilakukan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan di Universiti.

"Bagi memberikan kefahaman kepada rakyat kenapa perlu membayarnya serta bagaimana ia akan dikembalikan semula kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.


Tag: