• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ahmad Razif Bersama Delegasi Promosi TMT 2017 Di Kota London


Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan delegasi telah mengadakan promosi pelancongan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 di Kota London sempena tiga hari Pameran World Travel Market (WTM) London yang berakhir 9 November lalu.

Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, penyertaan kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu di WTM London, pelbagai program diatur bagi memberikan impak semaksimun mungkin di dalam mempromosikan TMT 2017.

“Sebanyak 35 temujanji bersama ejen-ejen pelancongan dunia dan media cetak, elektronik dan blogger telahpun diatur sepanjang program berlangsung selain dari menerima kunjungan pelancong-pelancong Eropah ke gerai pameran dan taklimat Tahun Melawat Terengganu 2017 turut diadakan kepada delegasi Malaysia yang menyertai WTM pada tahun ini.


“Juga pelancaran nasi dagang dan keropok sejuk beku semasa sidang media Malaysia oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 8 November 2016,” ujarnya.

Dalam lawatan itu katanya, Ahmad Razif turut mengunjungi Ibu Pejabat Chicken Cottage di Croydon dan mengadakan mesyuarat strategik dengan diberi laporan terkini oleh pengurusan kanan Chicken Cottage.

Pada masa sama, beliau  sempat merasmikan cawangan Chicken Cottage yang ke 81 di 412, Harrow Road, London di United Kingdom.


Restoran makanan segera berstatus halal itu sebelum ini telah mempunyai lebih 80 cawangan francais, termasuk di Eropah, Asia, Afrika dan Asia Barat  dengan kadar harga yang berpatutan.

Katanya, Ahmad Razif juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan 11 pengusaha restoran Malaysia di kota London bertempat di Makan Cafe, Portobello pada 9 November 2016.



“Dalam perjumpaan tersebut, Ahmad Razif meminta pengusaha restoran bersama-sama mempromosikan TMT 2017 dan juga memperkenalkan nasi dagang dan keropok sejuk beku.

“Antara yang hadir termasuk Tuk Din dari Restaurant Tuk Din, Puan Amy Mustafa dari D’Rasa, Puan Zaleha Rashid dari Malaysia Deli dan Raja Azi dari Puji-puji Restaurant dimana mereka ini menyambut baik usaha kerajaan negeri dan akan membantu sebaik mungkin,” ujarnya.

Wan Abdul Hakim berkata, semoga dengan kempen promosi yang baik dan konsisten ini, Terengganu terus kekal menjadi pilihan serta tumpuan pelancong serata dunia terutamanya sempena TMT 2017.




Tag: