• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Ahmad Said Akhirnya Tersungkur Di Kijal

KEMAMAN, 13 Ogos – Calon PAS, Datuk Razali Idris atau Tok Li menang bergaya apabila berjaya menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) terkuat di kerusi N30 Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 3,758 undi pada Pilihanraya Umum Negeri ke 15. 

Pengerusi Bersatu Negeri Terengganu itu yang mengenakan lambang PAS pada kertas undi menang dengan memperolehi undi sebanyak 13,403 manakala Ahmad Said penyandang kerusi tersebut selama tujuh penggal telah meraih sebanyak 9,645 undi.

Pegawai Pengurus Pilihanraya N30 Kijal, Hanum Isa@Ghazali secara rasmi mengumumkan keputusan tersebut pada jam 9.40 malam di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Sivik Kijal di sini semalam.

Razali Idris (kiri) bersama Hazri Jusoh di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Sivik Kijal. 

"Saya sebagai Pengurus Pilihanraya N30 Kijal dengan ini mengumumkan bahawa calon Tok Li daripada PAS mendapat undi sebanyak 13,403 undi.  

"Manakala Datuk Seri Ahmad Said daripada Barisan Nasional memperolehi undi berjumlah 9,645 undi. Dengan ini diumumkan pemenang bagi kerusi N30 Kijal pada pilihanraya ini adalah Tok Li daripada PAS dengan majoriti berjumlah 3,758 undi," umumnya. 

Pada PRU14, Ahmad Said menang dengan majoriti 1,265 undi selepas mengalahkan pesaingnya iaitu Ustaz Hazri Jusoh daripada PAS dan Datuk Seri Wan Marzuki daripada Parti Keadilan Rakyat. 

Kerusi Dewan Undangan Negeri Kijal yang terletak di bawah Parlimen Kemaman mempunyai populasi sebanyak 98 peratus pengundi Melayu manakala baki dua peratus lagi adalah kaum Cina di mana pengundinya adalah seramai 29,419 orang. 


Tag: