• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Ahmad Said Tempelak Pengundi Muda

KUALA TERENGGANU, 30 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said dikatakan menempelak sikap pengundi muda khususnya di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu mendakwa, golongan terbabit tidak memikirkan masa depan agama, bangsa dan negara ketika membuang undi sebaliknya hanya sibuk tentang kepentingan diri.

“Sekarang diletakkan masa depan negara di tangan pengundi 18 hingga 21 tahun, orang muda tak pernah fikir perkara itu.

“Mereka fikir yang penting aku dapat duit, asalkan boleh beli gajet semua jalan, dua kali dapat daripada kerajaan negeri melalui i-Belia dan i-Mahasiswa kemudian ada parti lagi yang bagi,” ujar bekas calon BN Parlimen Kemaman dalam sidang media ketika persidangan DUN Terengganu hari ini.

Pihaknya membuat kenyataan itu selepas mendakwa kerajaan Terengganu merasuah pengundi muda dan menyalahguna kuasa.

Keratan berita bertarikh 15 November 2021, bantuan dibentangkan dalam bajet.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat sebelum ini berkata, Ahmad Said berbohong apabila mengatakan ia tidak pernah dibentangkan dalam Belanjawan 2022.

"Dakwa beliau, peruntukan itu tiada dalam bajet kerajaan negeri dan tidak pernah dibawa ketika pembentangan bajet kerajaan negeri.

"Ini jelas satu penipuan bagi menjejaskan imej PAS di mata rakyat, padahal peruntukan itu sudah dibentangkan dan ada dilaporkan dalam portal berita, boleh rujuk dan buat carian secara atas talian, namun jika Ahmad Said rasa betul, teruskan laporan, kita tak ada masalah," katanya.

Sementara itu, ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim menyuarakan kebimbangan kerana tuduhan BN itu merendahkan kematangan anak muda. 

Katanya, kemenangan PAS pada PRU ke-15 baru-baru ini juga tidak hanya didorong undi golongan belia. 

“PAS menang di TUDM Gong Kedak, IPD Polis dan Kem-Kem Tentera, adakah mereka ini dapat duit daripada PAS. Bagaimana pula dengan penjawat awam yang majoritinya mengundi PAS di Terengganu. 

“Faktanya PAS menang hampir semua saluran mengundi termasuk saluran 1 dan saluran 2, ini saluran tempat orang tua mengundi,” tegas Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri terbabit.

Untuk rekod, BN tewas di kesemua lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU ke-15 termasuk Ahmad Said dengan majoriti sangat besar.


Tag: