• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Ahmad Said 'Tenggelam' Di Sebalik Tok Li

KEMAMAN, 8 Ogos - Poster gergasi calon PAS, Tok Li atau Dato' Razali Idris yang dipasang penyokong PAS di Kampung Bukit Kuang, Kijal menenggelamkan poster calon BN sehingga mencuri tumpuan orang ramai.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata billboard bersaiz 40x40 itu dihasilkan menggunakan duit ahli dan penyokong PAS serta orang perseorangan.

“Semangat penyokong PAS-Perikatan Nasional untuk merampas DUN Kijal daripada Dato’ Seri Ahmad Said cukup tinggi, ramai datang untuk sama-sama memasang poster in.

“Kami mula memasang billboard ini pada jam 11 malam dengan tenaga dalam 50 orang. Kira-kira dalam masa lima jam poster dan kerangka siap dipasang,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial poster gergasi yang memaparkan gambar Tok Li di sebelah poster Ahmad Said.

Poster ini menarik perhatian orang ramai untuk bergambar dan memuji kekreatifan anak muda di DUN terbabit.

Sementara itu, mengulas tentang peluang untuk menang di Kijal, Tok Li berkata Kijal kini bukan lagi kubu BN, walaupun Ahmad menang di kerusi itu selama sembilan penggal sejak 1990. 

Ujarnya, sokongan terhadap Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu dilihat semakin berkurangan setiap kali pilihan raya. 

“Sokongan terhadap Ahmad juga jelas menurun ketika beliau bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tahun lalu. 

“Ketika bertanding di kerusi Parlimen, beliau kalah bagi peti undi DUN Kijal, jadi DUN Kijal ini bukan lagi Kubu kuat BN dan sokongan rakyat mula berubah,” katanya.


Tag: