KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan akan mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam pemilihan bulan depan.
Dalam kenyataannya, Menteri Besar Terengganu itu menzahirkan penghargaan kepada semua kawasan PAS di seluruh negara yang mencalonkan beliau untuk terus berada di barisan kepimpinan tertinggi parti.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan saya. Saya akur dan menerima harapan ahli-ahli PAS di pelbagai peringkat untuk saya terus berkhidmat,” ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau turut menjelaskan bahawa ketika ini semua calon yang dicalonkan diberi tempoh masa untuk membuat pertimbangan sama ada menerima atau menolak pencalonan tersebut.
“Sekarang masa untuk semua calon membuat keputusan. Ada tempoh yang ditetapkan dan saya, sebagai penyandang jawatan (incumbent), insya-Allah akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS,” katanya.

Pemilihan PAS kali ini dijangka menjadi tumpuan selepas PAS muncul sebagai parti utama yang memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.
Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat sebelum telah mengumumkan senarai calon yang layak bertanding bagi pemilihan jawatan parti untuk sesi 2025/2027 dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kekal tanpa pertandingan.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diumumkan sebagai calon tunggal jawatan Presiden, manakala Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai calon tunggal jawatan Timbalan Presiden.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dalam kenyataan, senarai berkenaan melibatkan jawatan di peringkat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda serta Dewan Muslimat.