• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Aid4Palestine Lancar Minggu Al-Quds Sedunia

KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aid4Palestine dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah akan melancarkan Minggu Al-Quds Sedunia pada 25 Februari hingga 3 Mac 2022.

Pengerusi Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, inisiatif itu diadakan bagi mengangkat solidariti ummah seantero dunia untuk bangkit bersama ke arah pembebasan Al-Quds.

Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

"Minggu Al-Quds Sedunia yang digerakkan serentak di seluruh dunia ini ialah satu inisiatif cetusan daripada gabungan persatuan-persatuan ulama' Islam dari pelbagai negara.

"Penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia di peringkat Malaysia pada tahun ini akan merangkumi pelbagai program yang mensasarkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan masyarakat," jelas Ustaz Muhammad Khalil.

Tambah beliau lagi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu tersebut ialah Karnival #Malaysia4AlQuds, Kayuhan serta Konvoi Solidariti #Malaysia4AlQuds dan Khutbah Perdana Al-Quds.

Justeru, Aid4Palestine dan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berbesar hati untuk mengajak seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama menjayakan Minggu Al-Quds Sedunia ini.