• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

Air Percuma 20 Meter Padu: Bekalan Air Mencukupi

KUALA TERENGGANU, 11 Mei-  Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), memberi jaminan bekalan air mencukupi bagi pelaksanaan Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua rakyat di negeri Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong memaklumkan, keperluan bekalan air bagi rakyat Terengganu masih stabil menjelang perayaan hari raya Aidil Fitri yang bakal disambut, dua hari lagi.

"Berdasarkan anggaran penggunaan semasa, jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma oleh kerajaan negeri dapat menampung keperluan penggunaan pada kadar biasa bagi lima orang pengguna dalam satu rumah selama 20 hari.

"Bekalan air percuma yang diumum oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dua hari lalu sebenarnya telah bermula sejak 1 Mei, bermakna rakyat Terengganu telah menikmati manfaat ini sejak sepuluh hari lalu," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Terdahulu, Dr. Samsuri mengumumkan memperluaskan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada semua pengguna kategori rumah tangga sempena bulan perayaan Aidilfitri bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik COVID-19.

Bantuan ini melibatkan perbelanjaan yang berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan dan bakal meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda kepada lebih 1.33 juta rakyat yang terdiri daripada isi rumah kategori rumah tangga.

 


Tag: