• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ajal Ketika Mencandat Sotong

KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Seorang nelayan orang kelainan upaya (oku) di Pantai Batu Buruk di sini ditemui meninggal dunia di atas bot miliknya selepas dipercayai keluar mencandat sotong kelmarin.

Mayat Ahmad Saufie Mohamed, 34 tahun, ditemui adiknya kira-kira jam 5.10 petang semalam sekitar jarak lima batu nautika dari kawasan darat.

Rakan mangsa, Mohd Sahid Said berkata, sekitar pukul 6 petang pada Ahad, dia bersama mangsa serta seorang lagi rakan menaiki bot berasingan untuk mencandat sotong dan berlabuh berdekatan antara satu sama lain.

“Kemudian sebelum bergerak untuk pulang, kami menghampiri bot Ahmad Saufie dan cuba mengejutkan mangsa yang kami sangka sedang tidur, namun tiada respon balas.

“Semalam, dalam pukul 1 pagi, terjadi hujan lebat dan angin kencang. Lebih kurang pukul 4 pagi, lampu generator candat sotong mati. Kemudiannya, dalam 10 minit selepas itu, ia hidup balik.

“Dua kali perkara itu berlaku dan kami pergi untuk kejutkan dia, tak bangun, kami pun tinggalkan dia kerana menyangka dia tidur seperti biasa macam sebelum-sebelum ini,” kata Mohd Sahid.

Kata Mohd Sahid lagi, kebiasaannya selesai mencandat mereka akan berjumpa di pengkalan selepas waktu Subuh, namun sehingga petang semalam mangsa masih tidak pulang.

Sementara itu, pagi semalam, adik mangsa yang turut keluar menangkap ikan sekitar jam 11 pagi mengesan bot abangnya sedang berlabuh namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka abangnya sedang tidur.

Walau bagaimanapun, sekitar jam 5 petang, adik mangsa mendapat panggilan telefon daripada ahli keluarga memaklumkan Ahmad Saufie masih belum pulang, dia bergegas kembali ke bot milik abangnya dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Kejadian tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Astro Awani.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambah Abdul Rahim.