KUALA TERENGGANU, 18 September — Para asatizah perlu memperkasa penguasaan teknologi dan media sosial bagi memastikan penyampaian ilmu agama yang sahih dapat disampaikan dengan berkesan, khususnya kepada golongan muda.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkembangan media sosial memberi peluang besar kepada usaha dakwah, namun pada masa sama turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat agama yang tidak tepat.
Menurutnya, masyarakat hari ini mempunyai akses yang sangat luas kepada maklumat melalui pelbagai platform digital, menyebabkan mereka memerlukan bimbingan daripada individu yang mempunyai ilmu dan autoriti.
"Mereka perlu dibantu untuk membezakan antara ilmu dengan maklumat, antara pandangan yang berasaskan dalil dengan pandangan yang sekadar menjadi tular.
"Dalam keadaan ini, para asatizah perlu tampil bukan sahaja dengan ilmu yang kukuh, tetapi juga dengan pendekatan dakwah yang berhikmah dan sesuai dengan perkembangan semasa," jelasnya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Makan Malam dan Penghargaan Asatizah Terengganu,di Dewan Gamelan 1, Primula Hotel, di sini.
Tambahnya, para asatizah bukan sahaja perlu mempunyai ilmu agama yang kukuh, malah perlu menguasai kemahiran komunikasi, teknologi serta memahami isu semasa bagi memastikan pendekatan dakwah kekal relevan.
“Para asatizah juga perlu digalakkan memanfaatkan media sosial sebagai ruang menyampaikan ilmu yang sahih, ringkas dan mudah difahami, khususnya kepada golongan muda,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Khalil berkata, usaha memperkasakan golongan asatizah perlu dilaksanakan secara berterusan termasuk melalui latihan, perkongsian ilmu dan pengukuhan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan, masjid, agensi kerajaan serta badan dakwah.
"Pada masa yang sama, kita perlu memperkukuhkan jaringan kerjasama antara para asatizah, institusi pendidikan, masjid, agensi kerajaan dan badan-badan dakwah.
"Perkongsian ilmu, latihan dan pengalaman perlu dipertingkatkan supaya para asatizah tidak bergerak secara bersendirian. Dengan kerjasama yang baik, kita dapat membina satu ekosistem pendidikan dan dakwah yang lebih tersusun serta mampu menjawab keperluan masyarakat," ujarnya.
Beliau turut menegaskan aspek kebajikan dan penghargaan terhadap asatizah tidak seharusnya dipandang ringan kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak dan keharmonian masyarakat.
"Dalam usaha mencapai sebuah negeri yang Maju, Berkat da Sejahtera, sudah semestinya Kerajaan Negeri Terengganu sangat memerlukan dan mengalukan sebarang nasihat, teguran serta panduan daripada para asatizah.
"Sesungguhnya tiada kerajaan yang sempurna tanpa salah dan silap. Oleh itu, kita perlu bersama berusaha menegakkan kebenaran dan membanteras kebatilan. Kami di pihak Kerajaan Negeri Terengganu sangat menghargai setiap teguran serta panduan yang diutarakan oleh semua pihak," tambah Khalil.
Beliau berkata, jasa para asatizah dalam menyampaikan ilmu dan membimbing masyarakat perlu terus dihargai kerana pendidikan agama bukan sahaja membantu masyarakat memahami perkara halal dan haram, malah membentuk nilai, hikmah serta tanggungjawab dalam kehidupan.
"Semoga segala usaha ini membawa kita lebih dekat kepada matlamat negeri Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera serta menjadikan "Indahnya Hidup Bersyariat" bukan sekadar slogan, tetapi menjadi satu realiti dalam kehidupan rakyat di bumi bertuah ini," tambah beliau.
Justeru itu, marilah sama-sama berganding bahu memastikan ilmu agama terus subur dalam masyarakat.
"Kita perlu memastikan generasi muda mempunyai asas agama yang kukuh, masyarakat mendapat bimbingan yang benar dan para asatizah terus diberikan ruang serta sokongan untuk melaksanakan amanah mereka," katanya.