Berita :
Al-Quran Asas Pembinaan Tamadun, Perkukuh Perpaduan Umat - Pemangku Raja
Al-Quran Asas Pembinaan Tamadun, Perkukuh Perpaduan Umat - Pemangku Raja
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
81

KUALA NERUS, 19 April - Penguasaan dan penghayatan Al-Quran perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan asas utama dalam mengangkat martabat umat Islam untuk membina tamadun yang berdaulat.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Al-Quran menjadi sumber nilai tertinggi yang menekankan keadilan, keseimbangan serta kemanusiaan sejagat.

Menurut baginda, sejarah telah membuktikan kegemilangan umat Islam berpunca daripada penghayatan Al-Quran yang mendalam, sekali gus melahirkan generasi berakidah kukuh, berakhlak tinggi dan berwibawa.

"Penghayatan ini telah melahirkan generasi yang mampu memimpin tamadun dengan penuh keadilan serta meraih penghormatan dunia," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Penutup serta Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan bulan Syawal.

Dalam pada itu, baginda menegaskan bahawa wahyu pertama yang menekankan perintah membaca dan pencarian ilmu telah meletakkan ilmu sebagai asas utama kemajuan umat Islam.

Jelas baginda, ia sekali gus membudayakan pemikiran kritis, penyelidikan mendalam serta penghayatan terhadap ciptaan Allah, yang akhirnya melahirkan tamadun berteraskan ilmu yang benar dan bermanfaat.

Sehubungan itu, baginda menekankan bahawa Al-Quran wajar dijadikan panduan dalam setiap aspek kehidupan, bermula daripada institusi keluarga, sistem pendidikan, tadbir urus hingga kepada pembentukan masyarakat secara keseluruhan.

"Al-Quran perlu dijadikan sumber nilai yang membimbing setiap keputusan dan tindakan demi kelangsungan sebuah peradaban yang adil, lestari dan berakhlak tinggi," titah baginda lagi.

Dalam masa sama, baginda turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atas kepercayaan kepada Terengganu sebagai tuan rumah penganjuran majlis berprestij itu.

Baginda turut menyifatkan penganjuran tersebut bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan Al-Quran serta kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Beta mendoakan agar segala usaha ini diberi ganjaran oleh Allah SWT dan terus menjadi pemangkin kepada kelangsungan syiar Islam serta kecemerlangan umat di negara ini," titah baginda.


Ketupat

Artikel Berkaitan