• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Al-Kahf, Permainan Uji Minda Buat Penggemar Astronomi

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Selain melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ibu bapa boleh membina minat anak-anak tentang astronomi dengan hasil inovasi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sebagai antara pelopor bidang pengajian ilmu falak di Malaysia, UniSZA berusaha memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang keindahan astronomi atau dikenali sebagai ilmu falak melalui sebuah papan permainan (gameboard) yang dinamakan AL-KAHF.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Roslan Umar dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam yang mengetuai projek berkenaan, permainan Kembara Alam Hartawan Falak (AL-KAHF) merupakan inovasi ‘gameboard’ yang dibangunkan bagi mempromosikan minat para pelajar kepada ilmu sains terutama ilmu astronomi dengan kaedah menyeronokkan.

Dr. Roslan bersama produk AL-KAHF.

“Memiliki konsep sama dengan papan permainan lain seperti Saidina dan Jutaria, AL-KAHF diubah suai dengan memperkenalkan pemain dengan perkara berkaitan falak. 

“Jika kebiasaannya, mereka akan beli rumah dan hotel di setiap pusingan, kali ini mereka beli balai cerap, pusat sains serta agensi angkasa negara. Selain membeli tanah, mereka juga akan membina teleskop,” jelasnya.

Lebih menarik, produk tersebut turut dilengkapi kad AL-KAHF yang menyediakan aplikasi AR yang boleh digunakan bersama telefon pintar.

Pembangunan AL-KAHF dimulakan sejak 2018 melalui gabungan tenaga bersama Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hazmin Sabri dari Fakulti Sains Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Dr. Mohd Hasrul Shuhari (Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA); Ts. Dr. Ismahafezi Ismail dari (Fakulti Informatik & Komputeran, UniSZA) dan pelajar UniSZA iaitu Ahmad Najmuddin Zulkeflee, Ahmad Ezzuddin Mohamad serta Ahmad Solihin Sira Juddin.

“Ideanya bermula sejak saya mengajar tahun 2005 ketika dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KuSZA), selalu muncul banyak persoalan tentang astronomi seperti  betul ke bulan akan jadi besar Marikh? Betul ke arah kiblat berubah, boleh ke kita tengok kiblat menggunakan matahari?

“Persoalan-persoalan itu membuatkan saya terfikir bagaimana untuk buat pelajar faham tentang astronomi dengan mudah. Itu antara penyebab saya memulakan inovasi permainan ini,” cerita Dr. Roslan.

Al-KAHF terbukti berjaya menarik minat para pendidik kerana telah memenangi beberapa pertandingan penyelidikan dan inovasi yang dipertandingkan antaranya ialah Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2020 (MPI 2020), UniSZA Carnival on e-Learning 2019 (UniCEL 2019) dan International University Carnival on E-Learning 2019 (IUCEL 2019). 

Kini, produk tersebut telah memasuki versi keempat serta boleh didapati melalui pembelian dalam talian.

 


Tag: