KUALA TERENGGANU, 9
September – Satu inisiatif baharu bakal dilaksanakan dengan mewujudkan platform alumni di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menghimpunkan bekas pelajar daripada pelbagai universiti, termasuk wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belia bermula awal tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, program itu dijangka menjadi medium strategik dalam menyalurkan peruntukan bagi aktiviti mahasiswa dan belia, selain memperkasa program kecemerlangan di peringkat akar umbi.
”Penubuhan alumni di peringkat DUN bukan sahaja berfungsi sebagai jaringan sokongan antara bekas mahasiswa, malah mampu menjadi jambatan untuk memperkukuh kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, ADUN serta agensi berkaitan.
“Alumni akan dijadikan saluran rasmi untuk menggerakkan program pembangunan mahasiswa, aktiviti belia serta inisiatif kecemerlangan akademik dan sahsiah.
“Ia juga dapat memastikan peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Aspirasi Pendidikan: Bicara Ilmiah Bersama Mahasiswa Terengganu di Hotel Grand Puteri, baru-baru ini.

Satiful juga berkata dengan adanya struktur alumni di setiap DUN, mahasiswa dan belia tempatan diyakini akan lebih berdaya saing serta berpeluang menyertai lebih banyak program berbentuk akademik, kepimpinan, keusahawanan dan kebajikan.
“Inisiatif ini turut membuka ruang kepada pemimpin muda di peringkat DUN untuk berganding bahu bersama bekas mahasiswa dalam membentuk ekosistem belia yang progresif, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.