• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Amaran Banjir di Terengganu, Bermula Esok Hingga 26 Disember

KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini.

JPS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan jangkaan banjir tersebut berlaku di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai iaitu dalam lingkungan lima kilometer (5km).

Di Daerah Besut, jangkaan banjir adalah pada 2 pagi (24 Disember) hingga 2 pagi 26 Disember dengan Sungai Besut melibatkan sekitar Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Keruak dan Kampung Pengkalan Nangka.

Manakala di Kemaman pula membabitkan Sungai Kijing iaitu di sekitar Kampung Sungai Mas, Kampung Pelantuh, Padang Kubu, Kampung Paman dan Kampung Sungai Pinang.

Jangkaan banjir di daerah sama juga melibatkan Sungai Kemaman iaitu di sekitar Jambatan Air Putih, Kampung Teladas, Kampung Darat Air Putih, Rumah Pam Paya Paman, Kampung Binjai, Kampung Bukit Mentok, Kampung Kubang Kurus dan Kampung Fikri.

Amaran banjir itu turut melibatkan Sungai Tebak di daerah sama meliputi kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Jambatan Tebak.

Sementara Sungai Tersat di daerah Hulu Terengganu pula, membabitkan kawasan sekitar KM 8 Jalan Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan Kampung Bukit Gemuruh.

Menurut JPS, banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan dan daerah lain yang tidak termasuk dalam amaran banjir monsun ini turut diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

"Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.