• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

AMCT 2022 Tarik Penyertaan Antarabangsa

HULU TERENGGANU, 3 Disember - Asean Monsoon Casting Tournament 2022 (AMCT 2022) menarik tumpuan antarabangsa apabila menerima penyertaan 14 peserta dari Amerika Syarikat, Thailand (18 peserta), Singapura (3 peserta) dan beberapa penyertaan dari Lithuania untuk saingan kali ini.

Program selama tiga hari bermula hari ini, menghimpunkan 433 peminat sukan memancing melibatkan gerombolan 24 buah rumah bot (houseboat) dan 60 kayak.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2009, aktiviti tahunan itu bukan sahaja menonjolkan imej Tasik Kenyir ke persada dunia melalui penyertaan antarabangsa.

"Program ini kita harapkan menjadi mercu tanda aktiviti sukan memancing di peringkat tasik.

"Penyertaan melibatkan peminat sukan memancing tempatan dan antarabangsa, kita rasa satu sambutan yang cukup dalam mempromosikan Terengganu dan Tasik Kenyir itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelepasan peserta AMCT 2022 di jeti Pulau Poh, hari ini.

Jelasnya, dengan kerjasama yang erat daripada tourism Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), penganjuran tersebut memberi banyak manfaat terutama kepada pengusaha rumah bot, pemandu bot dan penduduk setempat.

Turut hadir Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat.

AMCT 2022 mempertandingkan empat kategori iaitu King of Sebarau, King of Toman, King of Special dan Best of Barra.

Berkonsepkan tangkap dan lepas, program berkenaan mampu memupuk kesedaran awam terutama peminat aktiviti memancing dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem serta biologi marin Tasik Kenyir.

Bersempena AMCT 2022, sebanyak 10,000 anak ikan lampam hasil sumbangan Jabatan Perikanan Terengganu turut dilepaskan sebagai usaha menggalakkan pemancing meraih kemenangan.

Berdasarkan rekod, sejumlah 500,000 anak benih ikan spesies eksotik tempatan asli termasuk Temoleh, Lampam, Kelah, Jelawat, Kerandang dan Sebarau telah dilepaskan penganjur di setiap penganjuran AMCT bermula 2015 hingga 2021.

 

 


Tag: