• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Amzad Fail Rayuan Pembatalan Kemenangan ke Mahkamah Persekutuan

KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pembatalan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, rayuan itu akan dikemukakan secepat mungkin selepas Hari Raya Aidiladha. 

"Kami juga akan membuat permohonan rasmi untuk menggantung keputusan mahkamah supaya Pilihan Raya Kecil tidak diadakan sehingga rayuan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan. 

"Jadi kalau Hakim bagi penggantungan penuh, keputusan hari ini tidak berkuat kuasa, jadi tidak akan ada pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kembali," jelasnya ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. 

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membatalkan kemenangan calon PAS selepas calon BN, Mohd Zubir Embong mengemukakan petisyen pilihan raya di parlimen itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Pada PRU15, Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk calon BN, Mohd Zubir Embong. 

Dalam perkembangan sama, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen BN Marang untuk membatalkan kemenangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

Mahkamah menolak petisyen itu selepas menilai pihak pempetisyen gagal membuktikan wujud rasuah kepada pengundi Marang.


Tag: