• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Amzad Pelawa Badan Korporat Bantu Sukarelawan PTCM

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mempelawa badan-badan korporat membantu sukarelawan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) mewujudkan sebuah pejabat pengurusan.

Jelasnya, PTCM Cawangan Terengganu yang merupakan antara cawangan paling aktif di seluruh negara itu kini memiliki 200 orang anggota yang menjalankan kerja-kerja sukarelawan.

“Saya ingin mengambil kesempatan menjelaskan bahawa ini kerja sukarela yang tidak ramai orang boleh buat. Jadi, saya amat berharap badan-badan korporat di negeri ini dapat sama membantu melengkapkan usaha mereka dari sudut dan keperluan lain. 

“Seramai 200 orang ahli (anggota) sukarelawan PTCM ini benar-benar buat kerja kerana Allah SWT. Mereka ini banyak memberi imej yang baik sebenarnya kepada pengunjung di Batu Burok, Kuala Terengganu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas meninjau lokasi baharu bagi menempatkan sebuah bangunan pejabat pengurusan PTCM, di Pantai Batu Burok, semalam.

Hadir sama, Ketua Turus PTCM negeri, Mohd Rezal Abu Bakar dan Naib Ketua, Wan Hanafiah Wan Husin.

Tambahnya, pasukan itu mempunyai banyak aset seperti pasukan kuda, motor pantai ATV, kereta peronda pantai untuk pelaksanaan tugas dan kini mereka juga diberi hak menguruskan dua buah Menara Anjung Peninjau yang rosak dan tidak terurus.

Menurut Amzad, beliau turut memperuntukkan sejumlah sumbangan peribadinya untuk bagi melancarkan hasrat PTCM Terengganu memulakan pembinaan.

“Saya diminta untuk membantu sama PTCM bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan. Jadi, saya guna peruntukan peribadi kerana bajet di bawah Ahli Parlimen (Kuala Terengganu) telah kita habiskan. 

“Saya beri sumbangan peribadi ini untuk membolehkan bangunan pejabat PTCM dapat dibina di sini, sebagai pejabat operasinya,” katanya yang memaklumkan, anggarannya antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi bangunan pejabat asas yang perlu disiapkan bulan Oktober depan.

Justeru, beliau memohon badan-badan korporat tampil membantu mencukupkan keperluan itu.

 

 


Tag: