• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Amzad Sumbang RM10,000 Bantu Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 20 November – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim memberi sumbangan kecemasan peribadi sebanyak RM10,000.00 bagi membantu operasi dan mereka yang terjejas banjir di sini.

Amzad berkata ia bagi menggerakkan bantuan musibah banjir susulan beberapa kawasan Parlimen Kuala Terengganu sudah mula dinaiki air berikutan hujan peringkat merah selama dua hari di Kuala Terengganu. 

Katanya, terdapat beberapa kawasan yang sudah dinaiki air termasuk kediaman Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus.

“Sebentar tadi saya dan semua kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Terengganu telah mesyuarat secara atas talian mengenai perkembangan banjir.

"Semoga Allah permudahkan segala operasi bantuan banjir dan semoga semua mangsa terlibat bersabar atas ujian ini,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Amzad, beliau dijadualkan terlibat dalam soal jawab lisan dan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini dan minggu ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu juga telah melancarkan Tabung Rayuan Derma Kilat Mangsa Banjir.

Beliau berkata, inisiatif tersebut dilaksana bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang melalui saluran yang betul.

Di samping, bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, dua PPS dibuka di Kuala Nerus iaitu Dewan Serbaguna Tok Jembal bagi menempatkan 124 mangsa daripada 54 keluarga manakala seramai empat keluarga membabitkan 25 keluarga ditempatkan di Dewan Flat Batin Perdana.

Sementara itu, PPS di Sekolah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu pula diaktifkan bagi menempatkan 35 mangsa membabitkan sembilan keluarga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu bermula semalam sehingga hari ini.

Dalam kenyataan semalam, ia memaklumkan amaran tersebut membabitkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.