• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Anak Penoreh Getah Hadiahkan 13A PT3

Abdul Rahman gembira dengan kejayaan Idham yang memperoleh keputusan cemerlang.
Oleh: Aslam Wira

MARANG, 13 Disember - Ahmad Idham Abdul Rahman, 15, yang merupakan anak seorang penoreh getah menghadiahkan keputusan cemerlang kepada ibu bapanya dengan berjaya mendapat 13A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2018.

Katanya, antara faktor kejayaannya adalah dorongan kuat untuk membantu ibu bapanya kerana mereka bukan daripada keluarga yang senang.

"Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa kerana saya yakin mereka tidak henti-henti mendoakan saya setiap masa walaupun tanpa pengetahuan saya," ujarnya ketika ditemui pemberita di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang hari ini.

Malah, Idham merupakan pelajar Kelas Tamayyuz Sekolah Menengah Agama Marang, di mana diwajibkan pelajar kelas tersebut menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam masa beberapa tahun.

"Setakat ini, alhamdulillah, saya sudah menghafaz 10 juzuk al-Quran, dan kejayaan ini juga adalah berkat daripada menghafaz al-Quran itu sendiri," jelasnya.

Idham yang tinggal di Kampung Batangan adalah anak bongsu daripada sembilan adik-beradik kepada pasangan Abdul Rahman Abdullah, 60, seorang penoreh getah dan Zainab Taha, 51, seorang suri rumah sepenuh masa.

Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria (kiri) meraikan kejayaan Idham yang memperoleh keputusan cemerlang.
Dalam tumpuan sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang merekodkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan PT3 2018.

"Kepada adik Idham, saya amat berbangga dengan pencapaian anda. Malah saya yakin seluruh ahli keluarga, guru-guru dan masyarakat juga berasa bangga dengan keputusan tersebut.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas segala pengorbanan dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh warga guru. Tanpa jasa guru-guru, pencapaian cemerlang dan memberangsangkan ini tidak akan menjadi kenyataan.

"Bagi pelajar yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan, jangan berputus asa, saya percaya jika disuntik semangat dan disokong usaha kental membimbing mereka, insya-Allah kejayaan yang diburu akan menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian melalui perutusan yang dikirimkan kepada Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria.

Keputusan yang diperolehi Idham hari ini menunjukkan bahawa jurang pencapaian antara pelajar di bandar dan di luar bandar telah dapat dikurangkan.



Tag: