• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Anak Penoreh Getah Muncul Pelajar Terbaik STPM Negara


Kejayaan anak penoreh getah dari Kampung Bukit Payong ,Hulu Besut, yang tersenarai antara pelajar terbaik negara membuktikan sistem pendidikan malaysia tidak pernah membezakan taraf kehidupan keluarga.

Siti Zubaidah Ismail, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut, membuktikan kemiskinan bukan halangan untuk bersaing dengan pelajar lain yang hidup serba mewah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato' Muhamad Pehimi Yusof berkata, kejayaan pelajar itu mampu memberi suntikan semangat kepada pelajar lain terutama mereka yang tinggal di luar bandar.
Beliau berkata, selain Siti Zubaidah, seorang lagi pelajar dari daerah itu juga disenaraikan antara pelajar terbaik peringkat nasional serta tiga lagi di peringkat negeri.
“Bagi pihak kepimpinan kerajaan di Daerah Besut, saya mengucapkan tahniah kepada kelima- lima pelajar terbabit kerana mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan juga negara,” katanya ketika menemui pelajar STPM Sekolah Menengah Seri Nering, Besut hari ini.
Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih berkata, kerjasama berterusan antara pihak sekolah, ibu bapa, guru dan PIBG adalah resipi yang patut dikekalkan bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.
Beliau juga berharap supaya warga pendidik dan ibu bapa mengekalkan momentum, malah terus meningkatkan tahap kemajuan yang lebih baik pada setiap tahun dengan pelbagai penganjuran aktiviti pendidikan sama ada di sekolah atau luar sekolah.

Tag: