• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Anak Penoreh Getah Terima Anugerah Pelajaran Diraja

KUALA NERUS, 22 Oktober – Kejayaan seorang anak penoreh getah menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Terengganu (UMT)membuktikan kecemerlangan pelajar bukanlah berpunca dari latar belakang keluarga yang  kaya mahupun ibu bapa yang berpelajaran tinggi.

Mohamad Mukramin Samrah, 24, dari Kuala Lipis, Pahang, merupakan pelajar program Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi berkata keinginan tinggi untuk mengubah kehidupan menjadi kekuatan buatnya untuk tekun belajar hingga berjaya

Anak ketujuh dari lapan adik beradik itu berkata, bapanya, Samrah Abu Bakar, 74, hanya seorang penoreh getah manakala ibunyaLaila Abdul Rahman, 60, merupakan  surirumah sepenuh masa seringkali memberi dorongan serta menjadi sumber kekuatan buat dirinya.

“Saya masih ingat lagi pada tahun pertama belajar di UMT, ayah masih melakukan kerja-kerja menorah getah semata-mata untuk membayar yuran pengajian sebelum saya berjaya mendapatkan pinjaman.

“Kakak pula sering menasihatkan saya untuk fokus belajar bermula tahun  pertama  supaya impian untuk bergelar graduan terbaik akan tercapai,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, UMT hari ini.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang kaunselor juga membuktikan walaupun dilahirkan dari keluarga kurang kemampuan, dia berjaya  meraih Sijil Kepujian Dekan selama lapan semester berturut-turut.

Selain kecemerlangan akademik, Mohamad Mukramin turut bergiat aktif di luar kuliah dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum terutama dalam badan beruniform Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswa (Kor SUKSIS).

Seorang lagi graduan, Ow Suk Theng  dari Taiping, Perak merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), turut menerima anugerah sama,

“Bapa saya seorang juruteknik manakala ibu saya suri rumah, mereka berdua tidak memberikan sebarang tekanan kepada saya dan hanya mahu melihat saya belajar dengan baik.

“Saya cukup gembira dengan kejayaan ini kerana segala usaha yang dilakukan selama ini membuahkan hasil yang membanggakan. Kejayaan ini bukan sekadar daripada semangat percaya dengan kemampuan diri, tetapi ia juga hasil daripada memberi tumpuan semasa kuliah, mengulang kaji dan aktif dalam persatuan,”ujarnya lagi.

Sepanjang pengajian, beliau sangat aktif menyertai pelbagai pertandingan malah telah berjaya menempa nama  sehingga ke peringkat kebangsaan. Anugerah Sijil Kepujian Dekan yang diraih selama enam semester berturut-turut membuktikan beliau juga unggul dalam bidang akademik. 

Beliau kini memegang jawatan sebagai Audit Associate I di Ernst & Young dan turut mendapat tajaan biasiswa daripada The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) bagi memperoleh kelayakan professional qualification dan menjadi seorang akauntan yang bertauliah