• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Anak Syarikat Terengganu Rekod Pendapatan Tertinggi Sepanjang Masa

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, TDM Berhad melakar sejarah apabila merekodkan pendapatan tertinggi syarikat sejak 1995.

TDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kewangan syarikat yang berakhir pada 31 Disember 2022 mencatatkan pendapatan sebanyak RM614.2 juta.

Jelas kenyataan itu, ia meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, RM511.6 juta.

"Pendapatan Bahagian Perladangan meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM335.4 juta.

"Manakala hasil daripada bahagian Penjagaan Kesihatan pula meningkat sebanyak 24 peratus kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM278.7 juta," ujar TDM.

Mengulas lanjut, TDM berkata walaupun mengalami penurunan pendapatan sebanyak lima peratus bagi suku keempat 2022, ia tidak menjejaskan kenaikan pendapatan keseluruhan.

"Bahagian Perladangan merekodkan pendapatan sebanyak RM78.5 juta, menyusut sebanyak 24 peratus berbanding tahun lepas.

"Walau bagaimanapun, ini diimbangi dengan pertumbuhan hasil bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 28 peratus yang berjumlah RM79.3 juta daripada RM61.9 juta sebelumnya," kata kenyataan itu.

TDM juga aktif dalam bidang penajaan sukan apabila menjadi penaja pasukan TSG.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM Najman Kamaruddin teruja dengan kemajuan yang dicapai oleh bahagian penjagaan kesihatan.

"Matlamat kami untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terkemuka dan kos efektif kepada masyarakat kekal teguh dan dalam pada waktu yang sama.

"Kami akan terus berusaha untuk mengembangkan penawaran serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kami," tambah beliau.


Tag: