Anak Syarikat Terengganu Terpilih Kerjasama Minyak, Gas Petronas

KUALA TERENGGANU, 24 April - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Csporation (EPIC) Berhad melalui, EPIC OG Sdn Bhd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PETRONAS bertempat di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

MoU dalam acara Executive Annual Dialogue (AuDi) 2025 yang dianjurkan oleh Malaysia Petroleum Management (MPM) itu bertujuan untuk memajukan inisiatif 'Talent (Skilled Trade) Champions', yang memberi fokus kepada pembangunan tenaga mahir dalam sektor minyak dan gas tempatan.

Kerjasama itu yang mempromosi, menyokong, dan memperkasakan pembangunan kemahiran teknikal dalam bidang-bidang kerja berasaskan kemahiran (skilled trades) merupakan satu usaha penting dalam menyediakan sumber manusia yang berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri.

"Perkongsian ini memberi tumpuan kepada pengukuhan bidang perdagangan kritikal luar pesisir seperti kerja-kerja pengikatan (rigging), letupan dan pengecatan (blasting and painting), pembinaan perancah (scaffolding), pengelasan (welding), penyambungan paip (joint-making), dan pelayaran (seafaring).

"Inisiatif ini juga mengutamakan peningkatan kemahiran pelaut tempatan bagi melahirkan lebih ramai pegawai yang berkelayakan dalam operasi marin luar pesisir," kata PETRONAS dalam satu siaran media, semalam.

Merujuk kepada perkembangan yang sama, Naib Presiden Kanan MPM PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong, turut menyuarakan sokongannya terhadap kerjasama ini, menekankan bahawa peningkatan kemahiran tenaga kerja adalah asas kepada kejayaan jangka panjang sektor 'Oil and Gas Services and Equipment' (OGSE) di Malaysia. 

"Kerjasama ini adalah manifestasi komitmen PETRONAS untuk memperkukuh ekosistem OGSE tempatan, serta menyumbang kepada pembangunan sektor ini yang mampan dan berdaya saing," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili (kanan), Pengurus Besar EPIC OG Sdn Bhd, Mohamad Irwan Abdul (kiri)

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, MoU ini turut disertai oleh beberapa syarikat besar lain dalam industri minyak dan gas, menjadikannya satu usaha kolektif yang melibatkan pemain utama.

"Selain EPIC Berhad, syarikat lain yang turut menandatangani MoU berkenaan termasuklah Malaysia OSV Owners’ Association (MOSVA), Sapura Energy, PETRA Energy, Turcomp Engineering Services dan HHA Associates.

"Sebagai simbolik, saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC telah bertukar-tukar dokumen dengan Encik Handan Ramli (SGM, POM, PETRONAS MPM)," ujar beliau melalui satu hantaran laman sosial media rasminya.

Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut ialah Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias, Pengurus Besar Kanan RDM MPM PETRONAS, Ir. Norafizal Mat Saad serta Pengurus Besar, EPIC OG Sdn Bhd, Mohamad Irwan Abdul.