• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Anak Terengganu Di Kuala Lumpur Terima Dana Raya, TOM Di Majlis Berbuka Puasa 10 Jun Ini

Peruntukan RM88.7 juta Dana Raya bakal diagihkan kepada kira-kira 230,000 rakyat Terengganu termasuk yang tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang sempena Majlis Berbuka Puasa Perantau Bersama YAB Menteri Besar dan Kepimpinan Negeri Terengganu di Perkarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Presint 3, Putrajaya pada 10 Jun ini (Sabtu).

Majlis yang dijangka bakal dibanjiri 10,000 anak Terengganu itu akan dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan dan kepemimpin politik.

Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama persatuan NGO-NGO Anak Terengganu di Lembah Klang dan Sekreariat Anak Terengganu Di Perantauan bermula seawal jam 5 petang dan berakhir 10 malam.

Pengerusi Sekretariat Anak Terengganu Di Perantauan, Samiun Salleh berkata, program tahunan kerajaan negeri itu juga turut melibatkan  pengagihan DanaTransformasi Orang Muda (TOM) dan bantuan Tabung Darul Iman (TDI) yang diselaraskan menerusi Pejabat DUN masing-masing.

Daripada keseluruhan dana raya kepada rakyat Terengganu yang mula diagihkan menerusi kaedah baucer sejak 27 Mei lalu, sejumlah RM61.1 juta kepada 154,730 golongan miskin, RM9.9 juta untuk 33,305 warga emas; RM4.2 juta (14,005 orang kelainan upaya) dan RM13.3 juta kepada 37,283 duda dan ibu tunggal.

Katanya, sebanyak RM1.56 juta DanaTOM juga akan diserahkan kepada 7,800 penerima, manakala RM9,000 lagi bantuan TDI kepada lima penerima yang disenaraikan.



“Sejurus selepas itu, peserta berpeluang mendapat hadiah cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai barangan menarik untuk dibawa pulang.

“Semua hadirin kemudiannya akan menyertai majlis berbuka puasa, solat Magrhib, Isyak dan berterawih. Manakala selepas terawih disediakan juga jamuan moreh dengan pelbagai menu istimewa termasuk Durian King, kambing bakar dan juga kuih-muih tradisional Terengganu,” katanya kepada Teganukita selepas mesyuarat kali kedua program itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berkata, semua kepimpinan negeri dijangka akan tiba dari jam 5 petang bagi menyambut anak Terengganu di perantauan serta beramah-mesra bagi merapatkan ukhwah sesama mereka.



Katanya, penganjur juga menyediakan pusat khidmat  kaunter T-Cakna untuk anak Terengganu mendapatkan informasi dan bantuan berkaitan yang disediakan agensi kerajaan negeri bermula jam 4.30 petang hingga 8 malam.


Tambah beliau, kepada anak Terengganu yang berminat menyertai majlis berbuka puasa ini, boleh menghubungi nombor pada iklan yang diedarkan dan diviralkan menerusi media sosial dan juga   kain rentang di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sekretariat Anak Terengganu di Perantauan di Parlimen masing-masing pada kadar segera.

Tag: