• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Anakanda Sultan Terengganu Santuni Mangsa Banjir

DUNGUN, 9 Januari- Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda Sultan  Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di Kemaman dan Dungun, hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu berangkat tiba bersama Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja ke Kemaman, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kemaman.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md. Azahar dan disambut oleh Pegawai Daerah serta wakil-wakil rakyat tempatan.

Pada sebelah pagi, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda berkenan mencemar duli dan menyantuni rakyat negeri Terengganu yang terlibat banjir di PPS Dewan Berlian ( 528 keluarga), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman (339 keluarga), PPS Sekolah Menengah Agama Al Falah (165 keluarga) dan PPS SK Chukai (185 keluarga) serta mengurniakan sumbangan hamper kepada mangsa-mangsa.

Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda turut berkenan mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa di di PPS Kampung Pasir Raja dan PPS Kampung Jongok Batu, daerah Dungun pada sebelah petang.

Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Paduka Anakanda-Anakanda juga berkenan mengurniakan sumbangan hamper selain mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir sebelum berangkat balik.