• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Andartu Jaga Anak Angkat Tergolong Sebagai Ibu Tunggal

KUALA TERENGGANU, 24 Disember - Andartu (golongan wanita lanjut usia) yang membesarkan anak angkat termasuk golongan ibu tunggal di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata mereka termasuk dalam 43,471 orang bilangan ibu tunggal yang tercatat di Terengganu.

Menurutnya, apabila mereka pelihara anak angkat sekali gus akan didaftarkan sebagai ibu tunggal.

"Penambahan status tersebut antara faktor penambahan jumlah ibu tunggal di negeri ini, bukan kes penceraian sahaja.

"Seramai 36,140 adalah isteri yang kematian suami manakala 7,331 lagi adalah ibu tunggal akibat perceraian," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri Kedua Tahun 2023 bertempat di Kenari Ballroom, DSA Batu Buruk Beach Resort di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Tambah Maliaman, dari segi bantuan pihaknya akan melihat pelbagai kategori sama ada melalui asnaf fisabilillah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai had umur namun kebiasaanya dalam kalangan yang berusia 35 tahun atau 40 tahun ke atas.

"Bila sebut perkataan andartu masyarakat kita sensitif sedikit, seeloknya kita istilahkan sebagai wanita lanjut usia sekiranya tidak berkahwin," ujarnya.

 


Tag: