KUALA NERUS , 11 Feb – Penjawat awam di bawah portfolio pertanian di negeri ini diingatkan supaya sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan dengan memberikan perkhidmatan yang penuh kasih sayang dan empati.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, setiap kakitangan perlu menyedari bahawa keberadaan mereka dalam jawatan sekarang adalah bertujuan untuk melayani urusan rakyat.
"Kita ada di sini, diberi gaji dan elaun untuk melayan rakyat. Kalau tanpa rakyat maka kita tidak perlu berada di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Perjumpaan Exco Pertanian Bersama Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Inc. Negeri Terengganu, di sini semalam.
Menurut Dr Azman, pendekatan yang lebih bersifat kekeluargaan perlu diterapkan dalam setiap urusan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan berada pada tahap tertinggi.
"Jika yang memerlukan khidmat itu ialah orang tua maka anggaplah mereka macam ibu bapa kita. Kalau yang lebih tua buatlah macam Datuk kita. Begitulah juga kalau datang yang lebih muda mereka ibarat adik-adik atau anak kita.
"Berikanlah khidmat yang terbaik dan sayangilah mereka sebagaimana kita inginkan yang terbaik untuk ahli keluarga sendiri," pesannya lagi.
Program tahunan tersebut menjadi medan pertemuan buat warga kerja daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuk Jabatan Pertanian, Perikanan, Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) , Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Turut terlibat, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA Ketara) , Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) , Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia , Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu dan Bahagian Kawal Selia Padi Beras Negara. 
Dalam majlis yang sama, Dr Azman turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada kakitangan jabatan dan agensi yang telah menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang tahun lalu sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam membangunkan sektor pertanian negeri.