• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

APMM Terengganu Tenggelamkan Bot Vietnam Jadi Tukun Tiruan

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu hari ini melupuskan dua bot nelayan Vietnam dengan cara ditenggelamkan sebagai tukun tiruan.

Kedua-dua bot berkenaan dilucut hak oleh mahkamah tahun lalu setelah disabitkan kesalahan menceroboh dan mengaut hasil di perairan negara tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, sejak 2006 sehingga kini, sebanyak 153 buah bot telah dilupuskan melalui kaedah penenggelaman bot sebagai tukun tiruan di perairan negeri itu.

“Kebanyakan bot ditenggelamkan di kawasan lima batu nautika ke bawah dan di kawasan-kawasan taman laut untuk pembiakan ekosistem marin.

“Kedudukan pelupusan ini adalah untuk menggalakkan penangkapan ikan nelayan kelas A iaitu nelayan tradisional, dan ia tidak mengganggu kawasan lima batu nautika ke atas yang merupakan zon tunda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program pelupusan bot di 4.7 batu nautika dari perairan Pantai Batu Buruk, hari ini.

Jelasnya, kaedah pelupusan tersebut bukan sahaja menunjukkan ketegasan Maritim Malaysia dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara, tetapi turut membantu memperkayakan sumber laut bagi nelayan tempatan.

“Kawasan ini dipilih oleh Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) iaitu pihak bertanggungjawab melaksanakan kajian kesesuaian bot sebagai tukun tiruan yang ditenggelamkan di perairan ini.

“Kajian oleh ISMAT selama tiga bulan selepas bot ditenggelamkan, mendapati tumbuhnya hidupan liar di dasar laut dan kehadiran ikan pelbagai spesies berhampiran tukun dengan dianggarkan hasilnya bernilai kira-kira RM70,000,” katanya.

Turut hadir dalam program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pengurusan Taman Laut, Jabatan Perikanan Malaysia, hari ini ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Aset ibu pejabat APMM, Mohamad Shaffie Hassan.
 


Tag: